TANJONG MALIM, 27 Ogos 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan MDTM telah menganjurkan Program Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M.
Program bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” ini diadakan bagi menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping mengeratkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga MDTM.
Antara pengisian utama program bermula dengan perarakan Maulidur Rasul seawal jam 9.00 pagi yang disertai oleh 6 kumpulan gabungan antara kakitangan mengikut jabatan/unit. Seterusnya pada jam 10.00 pagi semua jemputan termasuk Ahli-Ahli Majlis MDTM berkumpul di Auditorium Seri Tanjong MDTM bagi meneruskan program dengan alunan Asmaul Husna, bacaan doa serta Ceramah Sambutan Maulidur Rasul bertajuk 'Syafaat di Pintu Syurga' yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin).
Bagi memeriahkan lagi sambutan, pertandingan turut diadakan melibatkan tiga kategori iaitu Sepanduk Terbaik, Perbarisan Terbaik dan Pakaian Terbaik. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, Yang Dipertua MDTM.
Melalui penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan penghayatan terhadap sirah dan keperibadian Rasulullah SAW serta menyuburkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan perkhidmatan warga kerja MDTM.