PROGRAM CERAMAH INTEGRITI MDTM 2026: “ONCE TRY, TERUS MENYESAL”
TANJONG MALIM, 3 NOVEMBER 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah menganjurkan Program Ceramah Integriti bertajuk “Once Try, Terus Menyesal” bertempat di Auditorium Seri Tanjung, Aras 3, MDTM yang melibatkan penyertaan warga kerja MDTM.
Program tersebut menampilkan Encik Syamsul Afzan bin Mahadi, Penolong Pegawai Antidadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Batang Padang sebagai penceramah jemputan bagi menyampaikan perkongsian berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan membudayakan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja terhadap kesan buruk penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan diri, malah boleh memberikan implikasi terhadap kerjaya, institusi kekeluargaan serta imej dan kredibiliti perkhidmatan awam.
Selain itu, ceramah ini turut menekankan kepentingan penghayatan nilai amanah, akauntabiliti, disiplin dan tanggungjawab dalam memastikan setiap warga kerja sentiasa mematuhi etika serta tatakelakuan sebagai penjawat awam.
Pada akhir sesi ceramah, turut diadakan saringan ujian air kencing bagi pengesanan penyalahgunaan dadah sebagai salah satu langkah pencegahan dan usaha meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan bebas daripada pengaruh dadah.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MDTM dalam memperkukuh pembudayaan integriti, meningkatkan disiplin serta membentuk warga kerja yang beretika, berakauntabiliti dan bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah demi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
MDTM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak AADK Batang Padang atas kerjasama dan perkongsian ilmu yang bermanfaat dalam menjayakan program ini.











