Muallim, 7 April 2026 – Persembahan teater tradisional-fusion bertajuk “Sang Kala Nusa: Wayang Kulit” berjaya dipentaskan dengan penuh gemilang oleh pelajar Diploma Teater Semester 5, Amerta Persada Production, bertempat di Ruang Paku Laris, Buka Muallim, malam tadi.
Pementasan ini diadakan bersempena penilaian subjek ATP1183 Wayang Kulit Malaysia dan menampilkan gabungan empat naskhah wayang kulit yang mengetengahkan keindahan seni warisan tradisional melalui elemen visual, muzik dan penceritaan yang kreatif serta penuh makna.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, yang hadir memberikan sokongan kepada usaha pelajar dalam memartabatkan seni budaya tempatan.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kreativiti yang dipamerkan oleh para pelajar, di samping menekankan kepentingan generasi muda dalam memelihara serta mengangkat seni tradisional agar terus relevan dalam arus moden.
Persembahan ini berjaya menarik kehadiran orang ramai dan pencinta seni yang tidak melepaskan peluang menyaksikan keunikan wayang kulit dalam pendekatan baharu yang segar dan inovatif.
Program ini bukan sahaja menjadi platform penilaian akademik, malah turut berperanan sebagai medium memperkenalkan dan memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap seni warisan bangsa.