Sesi Libat Urus Perak Acceleration Track (P-ACT) yang berlangsung pada 12 hingga 13 Februari 2026 di AC Hotel Marriott, Ipoh telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan dan komitmen padu daripada wakil-wakil pihak berkuasa tempatan seluruh Negeri Perak.
Program strategik ini dianjurkan sebagai platform perkongsian, penyelarasan dan pengukuhan pelaksanaan inisiatif P-ACT bagi mempercepatkan proses berkaitan pembangunan dan pelaburan negeri.
Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta telah mengikuti taklimat menyeluruh berkaitan hala tuju dan pelaksanaan P-ACT, di samping sesi perkongsian amalan terbaik yang memberikan nilai tambah kepada keseluruhan program.
Setinggi-tinggi penghormatan dan penghargaan diberikan kepada Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) dan Majlis Daerah Kerian (MDK) di atas perkongsian pengalaman serta amalan terbaik menerusi pelaksanaan inisiatif Muallim Speed Lane (MSL) dan Kerian Green Lane (KGL), yang menjadi rujukan penting kepada pihak berkuasa tempatan lain.
Bagi memperkukuh input dan cadangan penambahbaikan, sesi Focus Group Discussion (FGD) telah dilaksanakan mengikut kategori, sekali gus mewujudkan perbincangan yang lebih fokus, terbuka dan konstruktif. Hasil dapatan perbincangan tersebut telah dibentangkan pada hari kedua program sebagai asas kepada penambahbaikan berterusan pelaksanaan P-ACT di peringkat negeri dan tempatan.
Program ini telah diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, sekali gus menzahirkan sokongan dan komitmen kepimpinan negeri terhadap usaha memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta mempercepatkan proses pembangunan dan pelaburan di Negeri Perak.
Secara keseluruhannya, Sesi Libat Urus P-ACT ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, malah menjadi pemangkin penting ke arah tadbir urus yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan serta kemajuan Negeri Perak.