SLIM RIVER, 26 Jun 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah mengadakan Sesi Libat Urus Penyediaan Senarai Nilaian Baharu di kawasan Slim bagi memberikan penerangan kepada orang awam berhubung pelaksanaan penyediaan Senarai Nilaian Baharu, di samping menjelaskan tujuan dan kepentingan Borang Penyata Pemilik dan Penduduk yang telah diedarkan kepada pemilik-pemilik harta. Sesi libat urus ini telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman. Turut hadir ialah Setiausaha MDTM, Encik Roslan bin Kamaruzaman; Ketua Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MDTM, Puan Rohana binti Mat Nayan; serta wakil daripada Rahim & Co International Sdn. Bhd., selaku perunding yang dilantik bagi penyediaan Senarai Nilaian Baharu. Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Ustaz Zulfadli bin Zainal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Slim; Encik Syahruddin @ Sahrom bin Abdul Hamid, Ketua Penolong Pegawai Daerah; Encik Azizul bin Abdul Aziz, Penghulu Mukim Slim; barisan Ahli Majlis MDTM, ketua-ketua jabatan MDTM serta penduduk sekitar kawasan Slim.
Melalui sesi ini, pihak MDTM turut mengambil peluang untuk mendengar pandangan, maklum balas dan pertanyaan daripada penduduk setempat berhubung pelaksanaan penilaian semula tersebut. Inisiatif ini penting bagi memastikan orang awam mendapat maklumat yang jelas, tepat dan menyeluruh mengenai proses penyediaan Senarai Nilaian Baharu. Selain itu, program berkenaan turut diselitkan dengan taklimat ringkas oleh Puan Hajah Siti Aida binti Rasidi, Ketua Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MDTM berkaitan Kempen Larangan Pemberian dan Penggunaan Beg Plastik Jinjit Sekali Guna yang telah berkuat kuasa di seluruh Negeri Perak mulai 1 Mac 2026. Taklimat tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam dan peniaga mengenai pelaksanaan larangan berkenaan, termasuk tempoh peralihan selama enam bulan sehingga 31 Ogos 2026 sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 September 2026.
Pelaksanaan larangan ini melibatkan semua premis perniagaan yang dilesenkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDTM) 2017, termasuk pasar raya, pasar mini, kedai runcit, restoran, kedai makan, farmasi, klinik, kedai barangan am, kedai pakaian, stesen minyak serta lain-lain premis perniagaan yang membekalkan beg plastik jinjit kepada pelanggan. Sehubungan itu, semua peniaga diseru untuk menghentikan tempahan dan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna, menggalakkan pelanggan membawa beg kitar semula serta menggunakan alternatif pembungkusan yang lebih mesra alam. MDTM turut menyeru orang ramai agar membuat persediaan awal serta membudayakan amalan membawa beg sendiri ketika membeli-belah sebagai sokongan terhadap usaha kelestarian alam sekitar dan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.