TANJONG MALIM, 5 Julai 2026 – Program Muallim Cross Country Run 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 4 hingga 5 Julai 2026 di Ujana Muallim berjaya menghimpunkan seramai 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk atlet, komuniti setempat serta peserta dari dalam dan luar Daerah Muallim.
Program anjuran Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) ini mempertandingkan empat kategori iaitu 50 Kilometer (50KM), 25 Kilometer (25KM), 10 Kilometer (10KM) dan Fun Run 5 Kilometer (5KM). Penganjuran program ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal para peserta, malah turut menjadi platform mempromosikan keindahan alam semula jadi serta produk pelancongan yang terdapat di Daerah Muallim.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Hajah Salina, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang. Turut hadir memeriahkan program ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan serta rakan strategik termasuk Proton City Development Corporation (PCDC) dan pelbagai pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan sukan, pelancongan dan ekonomi setempat di Daerah Muallim.
Penganjuran Muallim Cross Country Run 2026 turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan melalui kehadiran peserta serta pengunjung yang menggunakan kemudahan penginapan, premis makanan dan perkhidmatan lain di sekitar Daerah Muallim sepanjang program berlangsung.
Secara keseluruhannya, Muallim Cross Country Run 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memupuk budaya hidup sihat, mengeratkan hubungan antara agensi, komuniti dan peserta, di samping memperkukuhkan imej Daerah Muallim sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan dan pelancongan bertaraf nasional.
Program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan menjadi antara produk pelancongan sukan utama yang mampu menarik penyertaan lebih ramai pada masa akan datang