BANGI, 9 Oktober 2025 – Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre menekankan kepentingan kebersihan dan kesihatan persekitaran selaras dengan reformasi kebersihan awam di bawah RMK-13.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming berkata, SHKPS adalah acara tahunan sejak 2012 bagi mempromosi peranan KPKT dan 156 PBT dalam menjaga kebersihan serta mencegah penyakit di peringkat komuniti.
Bertemakan “Persekitaran Sejahtera, Masyarakat Harmoni, Negara MADANI”, program ini menjadi platform perkongsian ilmu dan inovasi antara PBT dan profesional kesihatan persekitaran.
SHKPS 2025 turut mengiktiraf PBT cemerlang menerusi pelaksanaan kempen kesihatan serta Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT). Enam sub program utama diperkuatkan: Kempen Cegah Denggi, Basmi Tikus, Premis Makanan Bersih, Pasar Bersih, Tandas Awam “BMW” dan Pengurusan Haiwan Terbiar.
Majlis Daerah Tanjong Malim telah berjaya memperolehi 5 bintang sekaligus dinobatkan sebagai PBT Cemerlang PBAT 2025. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming kepada Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman.