18 Julai 2026 - Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah menganjurkan Program Perak Bersih dan Sihat (PERAK BEST) 3.0 serta Pelancaran Tandas BMW Tahun 2026 Peringkat MDTM di Tasik YDP, Slim River bagi memperkukuh budaya kebersihan, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan awam serta menggalakkan penyediaan tandas yang Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) demi mewujudkan persekitaran yang bersih, selesa dan kondusif. Program ini merupakan antara inisiatif di bawah Local Agenda 21 (LA21) yang memberi penekanan kepada pengurusan alam sekitar secara mampan ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Hajah Salina binti Samsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang. Turut hadir, Encik Roslan bin Kamaruzaman, Setiausaha MDTM, Ahli-Ahli Majlis MDTM serta Ketua-Ketua Jabatan/wakil Jabatan daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan daripada IPD Muallim, Balai Bomba Slim River, PKD Muallim, KEMAS, KPDN, PDT Muallim, Giat MARA, Guru Besar, Pengetua Sekolah dan rakan strategik yang lain.
Pada majlis tersebut turut disempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penghargaan kepada para pemenang Pertandingan Program Perak BEST 3.0, yang melibatkan kategori Pertandingan Tandas Premis Bersih, Pertandingan Premis Bersih dan Pertandingan Otai Minyak Masak Terpakai sebagai penghargaan atas komitmen mereka dalam membudayakan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Pelbagai aktiviti menarik turut memeriahkan program ini, antaranya saringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, pameran kitar semula oleh I-Cycle, pertandingan mewarna, kuiz interaktif serta jualan rahmah, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
MDTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi, rakan strategik, peserta serta orang ramai yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Semoga usaha berterusan ini dapat menyemarakkan amalan kebersihan, memupuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar demi kesejahteraan komuniti.
"Kebersihan Tanggungjawab Bersama, Kelestarian Warisan Kita."