Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

MUALLIM CROSS COUNTRY RUN 2025 (MCCR2025) BERJAYA PERKUKUH IMEJ MUALLIM SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

MUALLIM, 27 Julai 2025 – Penganjuran Muallim Cross Country Run 2025 (MCCR2025) yang telah mencatat kejayaan cemerlang dengan penyertaan besar-besaran daripada pelari tempatan serta antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan daerah Muallim sebagai destinasi pelancongan sukan yang berdaya saing.

Acara tahunan anjuran Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) ini telah memasuki edisi kelima dan menawarkan tiga kategori utama iaitu Summit 30KM, Trailblazers 12KM, dan Fun Run 5KM, yang direka bagi memenuhi minat serta kemampuan pelari dari pelbagai peringkat.

Turut hadir memeriahkan acara, YB Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Tanjong Malim merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta kehadiran YB Salina Samsudin, Adun Behrang turut menyertai kategori Fun Run sebagai tanda sokongan terhadap gaya hidup sihat dan pengukuhan semangat komuniti setempat.

Di bawah pimpinan Yang Dipertua MDTM, Tuan Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, MCCR2025 berjaya dilaksanakan dengan lancar serta mematuhi standard keselamatan dan pengurusan acara yang tinggi. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan kemampuan Muallim sebagai tuan rumah yang berwibawa untuk acara bertaraf nasional dan antarabangsa.

Sambutan positif yang diterima tahun ini mencerminkan bahawa MCCR bukan sekadar sebuah acara larian, tetapi telah berkembang menjadi platform pengukuhan perpaduan masyarakat, pemantapan semangat kesukanan, dan pemacu kepada sektor pelancongan sukan di daerah Muallim.

MDTM kekal komited untuk meneruskan MCCR sebagai acara tahunan berprestij dalam kalendar pelancongan Negeri Perak, seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030, sekaligus membuka peluang ekonomi dan memperkukuh imej daerah di peringkat lebih tinggi.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 06/07/26 • Jumlah Pelawat : 21286955