Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

MESYUARAT PEMANTAUAN PROJEK PEMBANGUNAN PARLIMEN TANJONG MALIM BIL. 12025

26 September 2025 (Jumaat) - Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Parlimen Tanjong Malim Bil. 1/2025 telah diadakan buat pertama kalinya pada 26 September 2025 (Jumaat) dengan tujuan membincangkan hala tuju serta perancangan pembangunan daerah, khususnya di kawasan Parlimen Tanjong Malim, bagi merealisasikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri Perak melalui Perak Sejahtera 2030.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Tuan Mohd Sabli bin Bakri, Pegawai Daerah Muallim, dan turut dihadiri oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Malim; YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak; Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim; Tuan Azmi bin Abdul Aziz, Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah; serta YDH. Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Muallim; YDH. Toh Paduka Indera Dato’ Haji Mat Rasid bin Ayob, Orang Besar Jajahan Batang Padang; agensi-agensi teknikal negeri; wakil jabatan teknikal daerah Muallim dan Batang Padang; wakil jabatan teknikal MDTM & MDTapah; serta pihak AHTV Alliance Sdn. Bhd.

Melalui mesyuarat ini, pelbagai isu dan cadangan telah dibincangkan, termasuk usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, serta pihak berkuasa tempatan (Daerah Muallim dan Daerah Batang Padang) bagi mempercepat dan memudah cara proses kelulusan projek serta pelaksanaan agenda pembangunan daerah. Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV) yang dijangka memberi impak positif terhadap daerah bersempadan, khususnya di kawasan Parlimen Tanjong Malim.

Selain itu, mesyuarat turut menekankan kepentingan sektor kemudahan awam dan perumahan dalam menyokong pembangunan industri yang lebih inklusif dan mampan, sejajar dengan aspirasi menjadikan Negeri Perak sebagai hab Automotif Global Sektor EV pada masa hadapan.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 30/04/26 • Jumlah Pelawat : 21286969