Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

MESYUARAT JAWATANKUASA TETAP PERUMAHAN (JKTP) NEGERI PERAK DAN MESYUARAT JAWATANKUASA KECIL PEMANTAUAN PROJEK SAKIT DAN PROJEK TERBENGKALAI (JKPSPT) NEGERI PERAK BIL. 1/2026

     Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan (JKTP) Negeri Perak dan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Sakit dan Projek Terbengkalai (JKPSPT) Negeri Perak Bil. 1/2026 telah diadakan pada 9 dan 10 Februari 2026 bertempat di Palm Garden Hotel, Putrajaya. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YB Sandrea Ng Shy Ching selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Negeri Perak.Sesi mesyuarat kali ini telah dihadiri oleh wakil-wakil agensi dan jabatan berkaitan, termasuk Dato’ Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), wakil Jabatan Perumahan Negara (JPN), Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Negeri Perak.

Tumpuan utama Mesyuarat JKTP adalah untuk meneliti keperluan pembangunan perumahan yang lebih mesra warga emas selaras dengan perubahan demografi dan keperluan masyarakat semasa. Mesyuarat turut memberi penekanan terhadap penerapan konsep Smart Living dalam pembangunan perumahan baharu bagi memastikan persekitaran kediaman yang selamat, mampan, berdaya huni dan berdaya tahan.

Bagi Mesyuarat JKPSPT pula, perbincangan terperinci telah dijalankan berhubung status dan langkah pemulihan projek sakit. Dalam hal ini, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah membentangkan semula maklum balas terhadap kertas cadangan Insentif Pemulihan Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai Negeri Perak sebagai langkah proaktif untuk mempercepatkan proses pemulihan projek serta melindungi kepentingan pembeli rumah.Dalam usaha memperkukuh perbincangan dan memastikan pendekatan yang lebih komprehensif, LPHP turut menjemput wakil daripada PLANMalaysia Ibu Pejabat Putrajaya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Universiti Putra Malaysia serta Triballiance Sdn. Bhd. bagi berkongsi pandangan, kepakaran dan cadangan berkaitan pembangunan perumahan mesra warga emas serta pelaksanaan konsep Smart Living secara menyeluruh. Selain itu, LPHP turut membentangkan cadangan inisiatif serta mekanisme pra-kelulusan pelan bangunan bagi rumah kos rendah dan rumah kos sederhana.

Adalah diharapkan segala perbincangan, dapatan serta resolusi yang telah dicapai melalui mesyuarat ini dapat diterjemahkan kepada dasar dan tindakan pelaksanaan yang lebih tersusun dan holistik, seterusnya memperkukuh perancangan perumahan Negeri Perak agar lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap keperluan rakyat.Kerajaan Negeri Perak melalui LPHP komited untuk terus mempertingkat penyelarasan antara agensi, memperkukuh tadbir urus serta mempercepat usaha pemulihan projek sakit dan terbengkalai demi menjamin kesejahteraan serta melindungi kepentingan pembeli rumah di Negeri Perak.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 30/04/26 • Jumlah Pelawat : 21286969