SUNGAI PETANI, 20 Mei 2026 – Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman telah hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (JPPBT) Bilangan 2/2026 bagi Zon Utara yang telah berlangsung pada 19 hingga 20 Mei 2026 bertempat di Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). Penganjuran mesyuarat ini bertujuan menyampaikan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) serta pengurusan tertinggi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi penyelarasan tindakan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Melalui mesyuarat ini, pelbagai perkara berkaitan dasar, hala tuju dan pelaksanaan inisiatif di peringkat kerajaan tempatan telah dibincangkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efisien. Kehadiran Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman turut mencerminkan komitmen MDTM dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan PBT demi memantapkan tadbir urus serta mutu perkhidmatan kerajaan tempatan.