TANJONG MALIM, 15 April 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi penyediaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Muallim 2035 secara fizikal dan dalam talian pada hari Rabu, bertempat di Bilik Mesyuarat Seri Malim, Aras 4, Blok A, MDTM.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Dipertua MDTM, Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, dan turut dihadiri oleh wakil Pusat Perancangan Bandar Pintar (PLAN-BP) di bawah PLANMalaysia Ibu Pejabat, wakil PLANMalaysia Negeri Perak, ketua-ketua jabatan MDTM serta pasukan perunding yang dilantik.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Dipertua yang menzahirkan komitmen ke arah merealisasikan Bandar Pintar Muallim. Seterusnya, sesi pembentangan Draf Awal Pelan Tindakan Bandar Pintar Muallim 2035 telah disampaikan oleh TPr Ts. Md Farabi Yusoff bin Md Yusoff.
Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk menyelaras hala tuju penyediaan pelan tindakan, di samping menyemak serta menambah baik laporan perunding melalui input teknikal daripada jabatan-jabatan berkaitan. Perbincangan yang berlangsung turut menekankan kepentingan perancangan yang komprehensif, praktikal dan berorientasikan pelaksanaan.
MDTM komited untuk memastikan setiap inisiatif yang dirangka adalah selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan, seterusnya menyokong aspirasi kerajaan dalam merealisasikan pembangunan bandar pintar yang mampan dan berdaya huni.