SHAH ALAM, 5 MEI 2026 – Tuan Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) hari ini telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal Penandaan Dan Pengukuran Persempadanan Di Antara Negeri Selangor Dan Negeri Perak Bil. 1/2026 yang telah diadakan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Shah Alam. Mesyuarat telah dipengerusikan bersama oleh Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak. Ianya turut disertai antaranya Unit Perancang Ekonomi Perak dan Selangor, JUPEM, Pejabat Undang-undang Negeri Perak dan Selangor, JPS, IPK N.Perak dan Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Hulu Selangor, PDT Sabak Bernam, PDT Muallim, PDT Bagan Datuk, Majlis Daerah Tanjong Malim, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah berdasarkan kepada keputusan dan maklumbalas Jawatankuasa Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JPPSBN) bagi membincangkan dan menyelaras urusan berkaitan persempadanan Negeri antara N.Perak dan Selangor. Antara yang dibincangkan adalah melibatkan untuk memuktamadkan TOR dan Mou1 serta cadangan Mou2 bagi kelancaran persempadanan antara kedua negeri ini.
Seterusnya, pada sebelah petang, Tuan Yang Dipertua, MDTM telah terlibat sama dalam Perbincangan Mengenai Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran Sungai Bernam bertempat di Pejabat UPEN N.Selangor. Mesyuarat ini telah dipengerusikan bersama oleh Pengarah UPEN N.Perak dan N.Selangor dan turut disertai oleh agensi-agensi berkaitan dari N.Perak dan N.Selangor. Mesyuarat ini adalah bagi membincangkan cadangan penubuhan jawatankuasa ekonomi melibatkan sepanjang jajaran Sungai Bernam antaranya melihat potensi yang ada seperti aktiviti pengurusan dan penyelarasan pasir sungai, tenaga boleh diperbaharui dan aktiviti rekreasi dan pelancongan. Pengarah UPEN N.Perak telah membentangkan TOR bagi cadangan jawatankuasa ini dan memaklumkan bahawa N.Perak telah memberikan kelulusan dalam MMKN pada Mac 2026. Maka dengan itu mesyuarat ini adalah bagi mendapatkan persetujuan dan kelulusan bagi penubuhan jawatanuasa ini diperingkat N.Selangor. Pihak UPEN Selangor memaklumkan secara dasarnya bersetuju dengan jawatankuasa ini dan akan memaklumkan kepada pengurusan N.Selangor. Tuan Yang Dipertua memaklumkan bahawa penubuhan jawatankuasa ini amat penting khususnya melibatkan kepada pembangunan antara kedua negeri seperti MDTM dan MPHulu Selangor. Penekanan ketika ini adalah menjurus kepada industri automotif AHTV di Daerah Muallim dan Perodua di Daerah Hulu Selangor. Ianya bagi melihat peluang-peluang yang ada serta penyelarasan pembangunan dan cadangan-cadangan di sepanjang persisir Sg.Bernam.
Bagi MDTM, mesyuarat dan sesi perbincangan ini amat penting khusunya Daerah Muallim bagi memastikan kelestarian pembangunan antara dua negeri bersempadanan ini. Ia juga bukan sahaja melihat kepada aspek pembangunan malahan melibatkan kepada aspek penguatkuasaan dan kawalan pencemaran untuk kepentingan dan faedah penduduk diutara N.Selangor dan Selatan Negeri Perak.