Tanjong Malim, 14 Mac 2026 – Majlis Berbuka Puasa Parlimen Tanjong Malim telah berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keberkatan yang diadakan di Mysanding Glass Hall, Tanjong Malim pada petang Sabtu.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Tanjong Malim merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Turut memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato’ Orang Besar Jajahan Muallim. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, bersama beberapa Ahli Majlis serta Ketua-Ketua Jabatan daripada pelbagai agensi sekitar Daerah Muallim.
Majlis dimulakan dengan sesi berbuka puasa dan jamuan makan malam dalam suasana harmoni yang menghimpunkan para jemputan, pemimpin masyarakat serta wakil agensi kerajaan.
Antara pengisian utama majlis adalah penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim sebagai tanda keprihatinan serta perkongsian kegembiraan sempena bulan Ramadan.
Selain itu, sumbangan duit raya turut disampaikan kepada Pengerusi-Pengerusi Masjid di sekitar Parlimen Tanjong Malim sebagai tanda penghargaan atas peranan mereka dalam memakmurkan institusi masjid serta masyarakat setempat.
Penganjuran majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah turut memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.