Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

MAJLIS APRESIASI MDTM HARGAI KECEMERLANGAN WARGA KERJA

Rabu, 31 Disember 2025 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Perhimpunan Bulanan Bil. 4/2025 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan kecemerlangan warga kerjanya, yang berlangsung di Dewan Sri Tanjong MDTM. Majlis yang bermula jam 2.30 petang itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Hj. Wahab Abdul Rahman, A.M.P., dan turut dihadiri oleh Tuan Setiausaha, Ahli-Ahli Majlis serta pegawai dan kakitangan MDTM.

Dalam ucapannya, Dr Shazree Idzham menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja MDTM atas kecemerlangan, dedikasi, kerjasama dan komitmen berterusan khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan kepada masyarakat setempat. Beliau turut menekankan kepentingan budaya kerja berintegriti, inovatif dan berorientasikan kecemerlangan bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik. Dalam masa yang sama beliau turut berkongsi pandangan berkenaan usaha yang perlu MDTM laksanakan ke arah Perbandaran menjelang tahun 2029.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara serta bacaan doa. Suasana majlis bertambah ceria dengan tayangan video persembahan oleh Kumpulan Koir 'Voxara' MDTM yang mana telah memenangi tempat ketiga sempena Pertandingan Koir PBT Perak pada 4 Disember 2025 yang lalu.

Antara pengisian utama majlis ini ialah penyampaian Sijil Penghargaan Kecemerlangan MDTM, penyampaian hadiah pemenang Weight Lost Challenge, pertandingan kitar semula, pertandingan mencipta logo Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta penyampaian insentif Bank Inovasi kepada kakitangan yang berjaya.
Majlis ini turut meraikan warga kerja termasuk Ahli-Ahli Majlis yang menyambut hari lahir bagi bulan Oktober hingga Disember melalui penyampaian hadiah hari lahir dan acara memotong kek, sebelum diteruskan dengan jamuan minum petang dan diiringi dengan persembahan selingan oleh OpisMate Band MDTM.

Penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan komitmen MDTM dalam menghargai sumbangan warga kerja serta memperkukuh semangat kebersamaan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan Perak Sejahtera 2030.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 30/04/26 • Jumlah Pelawat : 21286969