18 Ogos 2025 (Isnin) - Perlawanan kelapan pusingan kedua Liga Bola Sepak Piala Zaidi Aziz mempertemukan MDTM FC menentang Besout Empat FC dalam suasana cuaca mendung diselangi hujan renyai. Sepak mula sahaja, MDTM FC mempamerkan aksi bertenaga dan mencipta rekod apabila meledak 3 gol pantas dalam tempoh 13 minit pertama. Namun, Besout Empat FC tidak mudah mengalah dan berjaya merapatkan jurang dengan satu jaringan sebelum tamat babak pertama, menjadikan kedudukan 3-1.
Memasuki babak kedua, tempo permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mengatur strategi baharu. Walaupun perlawanan berlangsung sengit, MDTM FC menutup aksi dengan kemenangan 4-2 ke atas Besout Empat FC. Tahniah MDTM FC atas kemenangan bergaya dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat suku akhir! Syabas juga kepada Besout Empat FC yang memberikan saingan hebat sehingga wisel penamat.