Melaka, 12 Disember 2025 (Jumaat) – Lawatan kerja bermula 11 hingga 14 Disember 2025 termasuk sesi taklimat ke MD2C telah diketuai oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Darul Ridzuan, Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan), Tuan Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak, Barisan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak serta pegawai tertinggi PSUK Negeri Perak. Dalam masa yang sama telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Negeri Perak Bil. 2/2025 bertempat di Hatten Hotel, Melaka.
Sesi lawatan ke MD2C ini dapat memberi ruang kepada delegasi Perak untuk meninjau secara dekat pengoperasian pusat kawal selia digital bersepadu yang berperanan dalam pemantauan keselamatan, pengurusan bandar pintar dan penyelarasan maklumat strategik Kerajaan Negeri Melaka.
Delegasi turut diberikan pendedahan mengenai pembangunan sistem digital, penggunaan teknologi masa nyata (real-time monitoring) serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh MD2C, yang berpotensi untuk dijadikan model dalam memperkukuh agenda transformasi digital Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Perak.
Program ini diharapkan mampu membuka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua Negeri, khususnya dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam tadbir urus Bandar.