BEHRANG 2020, 30 Jun 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah melaksanakan Latihan Mock Drill Kebakaran dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) MDTM dan Pasukan Emergency Response Team (ERT) MDTM, bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tanjong Malim, Hospital Slim River dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim. Latihan ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan warga kerja MDTM dan Pasukan ERT dalam menghadapi situasi kecemasan, di samping memperkukuh penyelarasan tindakan antara MDTM dan agensi-agensi penyelamat yang terlibat sekiranya berlaku kebakaran atau bencana. Latihan tersebut telah dipantau oleh pemerhati utama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tanjong Malim, iaitu Pegawai Bomba Kanan I Encik Jasmi bin Abdul Kamal dan Pegawai Bomba Kanan I Encik Saiful Ammar bin Ismail, serta Dr. Nurul Intan Fardyina binti Abd Aziz dari Hospital Slim River. Ketiga-tiga pemerhati telah memberikan penilaian dan ulasan membina bagi menambah baik prosedur tindak balas kecemasan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan pada masa hadapan.
Sepanjang latihan dijalankan, seramai empat (4) orang mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan ERT MDTM, manakala seorang (1) lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat menerusi operasi menyelamat yang dilaksanakan mengikut senario latihan yang telah ditetapkan. Secara keseluruhannya, latihan ini telah berjalan dengan lancar hasil komitmen dan kerjasama erat antara MDTM dengan semua agensi yang terlibat. Latihan seumpama ini amat penting bagi memastikan setiap anggota sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan secara cekap, pantas dan sistematik, sekali gus memperkukuh budaya keselamatan di tempat kerja. Majlis Daerah Tanjong Malim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Tanjong Malim, Hospital Slim River, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Muallim serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan latihan ini. Semoga jalinan kerjasama strategik ini terus diperkukuh demi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan warga kerja serta orang awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik.