Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI TAHUN KEEMPAT DEWAN NEGERI YANG KELIMA BELAS PERAK DARUL RIDZUAN BERLANGSUNG PENUH ISTIADAT

IPOH, 14 April 2026 – Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan telah berlangsung dengan penuh istiadat di Dataran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, hari ini.

Istiadat tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan bersama Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Majlis berprestij ini menghimpunkan barisan kepimpinan negeri, Ahli-Ahli Dewan Negeri, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan serta jemputan rasmi bagi menandakan pembukaan persidangan Dewan Negeri Perak bagi tahun 2026.

Turut berangkat hadir Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan; Yang Berhormat Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan; Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan; Orang-Orang Besar Jajahan, Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan serta dif-dif kehormat.

Majlis Daerah Tanjong Malim turut diwakili Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, bersama barisan pegawai kanan jabatan sebagai tanda sokongan terhadap institusi legislatif negeri dan komitmen berterusan dalam memperkukuh tadbir urus serta pembangunan negeri.

Istiadat ini menjadi pembuka tirai kepada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan yang berlangsung mulai 14 hingga 21 April 2026, melibatkan sesi perbahasan dan pembentangan berkaitan agenda pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta hal ehwal pentadbiran.

Persidangan Dewan Negeri ini merupakan platform penting dalam merangka hala tuju pembangunan Negeri Perak secara lebih pintar, progresif, lestari, inklusif dan sejahtera selaras dengan aspirasi kerajaan negeri demi kemakmuran rakyat dan kemajuan berterusan.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 30/04/26 • Jumlah Pelawat : 21286969