Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

BYD BAKAL DIRIKAN KILANG PENGELUARAN DI TANJONG MALIM

22 Ogos 2025 (Jumaat) – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan bahawa syarikat automotif global, BYD, bakal menubuhkan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Tanjong Malim. Projek ini dijangka memulakan operasi pada tahun 2026 di kawasan seluas 150 ekar, sekaligus menjadikan Tanjong Malim sebagai hab automotif berteknologi tinggi utama di Malaysia. Pelaburan ini adalah satu pencapaian besar yang dicapai melalui inisiatif Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) di atas pelaksanaan Muallim Speed Lane (M-SL) yang mempermudah proses kelulusan dan menarik lebih banyak pelaburan strategik.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, pelaburan BYD merupakan sebahagian daripada inisiatif Automotive High-Tech Valley (AHTV) yang akan melonjakkan masa depan mobiliti, membuka peluang pekerjaan, serta memperkukuh kedudukan Perak dalam industri automotif dan teknologi hijau.
YB Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak pula menyatakan bahawa kehadiran BYD akan membawa limpahan ekonomi, mempercepatkan pembangunan mampan serta memperkasakan penduduk tempatan dengan kemahiran teknologi tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, projek menaik taraf Jalan Persekutuan 1 (FT01) dari Tanjong Malim ke Politeknik Sultan Azlan Shah turut diluluskan di bawah RMK12. Projek ini akan menambah lorong jalan bagi meningkatkan kelancaran trafik, khususnya untuk menyokong kawasan industri utama.

Majlis Daerah Tanjong Malim merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, MIDA, Invest Perak dan semua pihak berkaitan atas kerjasama erat yang memungkinkan kejayaan ini. Kehadiran BYD membuktikan keyakinan pelabur terhadap Tanjong Malim sebagai destinasi strategik pelaburan serta peneraju industri automotif berteknologi tinggi dan mesra alam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dr. Shazree Idzham Bin Wahab Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, YDH. Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad,Orang Besar Jajahan Muallim,Tn Roslan bin Kamaruzaman,Setiausaha Majlis Daerah Tanjong Malim, En.Syahruddin bin Abdul Hamid, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Muallim , Tn Ir.Yussaime Ahmad Yusuf,Jurutera Daerah JKR Muallim, En Dyrul Syahrytz Mohd Daud, Pengarah MIDA Perak dan En Mohamad Hashim Bin Abdul Ghani, Pegawai Eksekutif Invest Perak.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 30/04/26 • Jumlah Pelawat : 21286969