Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

BENGKEL PEMBANGUNAN OACS 2026–2030 PERKUKUH INTEGRITI DAN TADBIR URUS MDTM

TANJONG MALIM – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah melaksanakan Bengkel Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) 2026–2030 selama tiga hari, bermula pada 14 hingga 16 Julai 2026 bertempat di Bilik Banquet, Aras 3, MDTM. Bengkel tersebut dianjurkan oleh Unit Integriti dengan kerjasama Unit Latihan MDTM.

Bengkel ini merupakan antara inisiatif strategik MDTM dalam memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang telus, di samping memastikan risiko rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa dapat dikenal pasti dan ditangani secara sistematik di setiap peringkat organisasi.

Pengisian bengkel telah disampaikan oleh 2 orang pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak iaitu Tuan Mohd Syahrul Ridzuan bin Yahaya, Penolong Kanan Pesuruhjaya dan Puan Azlin binti Ahmad, Penolong Pesuruhjaya. Kedua-dua penceramah telah memberikan penerangan, bimbingan serta panduan kepada peserta dalam proses penyediaan OACS MDTM bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada keperluan merangka OACS dan aspek perundangan, kaedah mengenal pasti risiko serta kawalan dalaman, analisis persekitaran, penilaian risiko rasuah atau Corruption Risk Assessment (CRA), penyediaan pelan tindakan serta pembentangan draf OACS untuk mendapatkan ulasan dan penambahbaikan.

Peserta turut terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan kumpulan bagi mengenal pasti proses kerja yang berisiko, meneliti punca dan kesan sesuatu risiko serta mencadangkan kawalan dan langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Hasil perbincangan tersebut menjadi asas kepada pembangunan strategi dan pelan tindakan pembanterasan rasuah yang lebih menyeluruh, praktikal serta berkesan.

Turut hadir ialah Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman dan Setiausaha MDTM, Tuan Roslan bin Kamaruzaman. Dengan kehadiran pihak pengurusan tertinggi mencerminkan komitmen MDTM dalam memastikan agenda integriti dan pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh dalam pentadbiran organisasi.

Pelaksanaan bengkel ini diharapkan dapat menghasilkan dokumen OACS MDTM 2026–2030 yang komprehensif dan berimpak tinggi sebagai panduan strategik dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan keyakinan masyarakat serta membentuk persekitaran kerja yang telus, berintegriti dan bebas daripada amalan rasuah.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 23/07/26 • Jumlah Pelawat : 21286987