Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah menganjurkan Bengkel Kajian Semula Pelan Strategik MDTM pada 14 hingga 17 Januari 2026 bertempat di Holiday Villa Cherating, Pahang.
Bengkel ini dibimbing oleh penceramah dan fasilitator dari Malaysia Productivity Corporation (MPC) yang mana melibatkan penyertaan Yang Dipertua, Setiausaha, Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-pegawai MDTM, bertujuan menilai semula hala tuju strategik majlis selaras dengan keperluan semasa dengan fokus utama ke arah perbandaran menjelang tahun 2029.
Penekanan diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, perancangan pembangunan mampan serta peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan bagi memastikan MDTM bersedia untuk peralihan status perbandaran secara terancang dan berimpak tinggi.
Hasil bengkel ini akan menjadi asas kepada penyediaan Pelan Strategik Majlis Daerah Tanjong Malim bagi tempoh 2027 hingga 2031, yang akan menetapkan keutamaan, sasaran dan hala tuju pembangunan majlis bagi lima tahun akan datang.
MDTM komited untuk memastikan pelan strategik tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan dan kemajuan penduduk Daerah Tanjong Malim.