Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Info Tanjong Malim

Tanjong Malim adalah merupakan sebuah pekan yang terletak di selatan negeri Perak Darul Ridzuan. Pekan ini bersempadan dengan negeri Selangor Darul Ehsan dan bersempadan topografi dengan negeri Pahang Darul Makmur. Dengan berlatar belakangkan Banjaran Titiwangsa dan kedudukan pekannya di pinggir Sungai Bernam menjadikan pekan Tanjong Malim sebuah pekan pintu masuk ke negeri Perak yang menarik untuk dilawati.

   Sejak dari dulu lagi pekan ini lebih dikenali sebagai Bandar Pendidikan. Bidang pendidikan adalah sinonim dengan pekan ini kerana terdapatnya pusat pengajian tinggi di sini iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pada awalnya ditubuhkan dengan nama Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1922 yang berjaya melahirkan ramai cendekiawan dan golongan profesional. Dari segi bentuk muka buminya, Tanjong Malim adalah merupakan sebuah kawasan tanah bercerun landai dan dikelilingi oleh bukit bukau (Banjaran Titiwangsa). Kedudukan bandarnya terletak 84 km ke utara Kuala Lumpur dan 145 km ke selatan ibunegeri Perak iaitu Ipoh.

Selain dikenali sebagai Bandar Pendidikan, Tanjong Malim juga berpotensi untuk menjadi sebuah bandar yang pesat membangun di kawasan selatan Perak. Berasaskan kepada kegiatan ekonomi yang sedia ada dan perancangan industri yang akan dirancangkan seperti industri automobil, perladangan dan perkilangan, Tanjong Malim dijangka bakal menjadi sebuah bandar yang pesat membangun di selatan Perak.Pendapat ini yang mula diperkatakan sejak dahulu lagi telah diperkukuhkan dengan pembinaan kilang kereta nasional, Proton di Bandar Proton dan pembangunan kawasan-kawasan perumahan baru, kawasan rekreasi dan lain-lain .

Bandar Tanjong Malim ini bermula daripada sebuah tanjung (kawasan air / tanah yang wujud daripada hakisan sungai) yang sangat luas. Kawasan ini diterokai oleh seorang ulama' yang bernama Tuan Haji Mustafa bin Raja Kemala. Sempena dengan kedudukan tanjung yang sangat luas ini, Tuan List (wakil kerajaan Negeri Selat) dan Raja Itam telah menamakan bandar ini dengan nama Tanjong, manakala perkataan Malim (mu'alim) adalah berkaitan dengan penduduk di kawasan Tanjong itu yang sangat rajin beribadat pada ketika itu.

Selain pekan Tanjong Malim terdapat beberapa pekan dan pekan-pekan kecil yang berhampiran dengan Bandar Tanjong Malim dan termasuk di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Tanjong Malim. Semua pekan dan pekan kecil ini terletak dalam lingkungan 30 km dari Tanjong Malim. Di antara pekan ini, Slim River pula sebagai pusat bandar pentadbiran di daerah ini oleh kerana Pejabat Daerah dan Tanah terletak di pekan ini. Di samping itu hospital juga ditempatkan di bandar ini. Hospital ini dilengkapi dengan rawatan doktor pakar.

Pada peringkat awalnya, Pejabat Daerah dan Tanah ini berpusat di Tanjong Malim. Tetapi sejak peristiwa pembunuhan Tuan Codner (Pegawai Daerah) oleh komunis di Simpang Empat, Tanjong Malim, pejabat ini telah dipindahkan ke Slim River. Asal nama Slim River bermula daripada sungainya (Sungai Slim) yang sempit. Berdasarkan keadaan sungai yang sempit ini orang Inggeris telah menamakan bandar ini Slim River yang bermaksud sungai sempit di dalam Bahasa Malaysia.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 16/07/24 • Jumlah Pelawat : 21286961