28 SEPTEMBER 2024, SABTU - Yang Berhormat Puan Salina binti Samsudin dan Tuan Mohd Ikram bin Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim telah menyempurnakan pelancaran gimik Hari Cuci Malaysia Peringkat daerah Muallim. Turut hadir bersama adalah Barisan Ahli Majlis MDTM, Ketua-ketua Jabatan Agensi Awam setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan tetamu jemputan. Program ini merupakan sambutan Hari Cuci Malaysia sempena World Clean Up Day yang diselaraskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serentak di seluruh negara.
Program Pembersihan Mega peringkat daerah Muallim melibatkan 487 peserta yang terdiri daripada kakitangan MDTM, Ahli Majlis MDTM, Jabatan Bomba & Penyelamat, COMBI Daerah Muallim, Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Muallim serta sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat. Semua peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan aktiviti pembersihan di Pusat Bandar Tanjong Malim, Medan Selera Muallim, Pasar Awam Tanjong Malim, Pasar Awam Behrang Stesen, Pasar Awam Slim River, Pasar Awam Slim Village dan Tapak Pasar Malam Tanjong Malim.
Sepanjang program tersebut sebanyak 940 kg sampah berjaya dikutip mencerminkan komitmen daripada setiap peserta. Malah, ia juga memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa dan pemeliharaan kebersihan.
Hari Cuci Malaysia ini telah melakar sejarah dalam The Malaysia Book of Records. Program ini juga melibatkan penyertaan paling ramai secara serentak di seluruh negara selain kutipan sisa pepejal paling berat serta tempoh masa bagi aktiviti gotong royong yang lebih lama.
Semoga program ini dapat menerapkan nilai tanggungjawab dan cintakan kebersihan persekitaran ke arah dunia yang lebih bersih, hijau dan berdaya huni. Jom bersama-sama berganding bahu meningkatkan kesedaran tindakan pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat.