Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

MAJLIS PENUTUP PROGRAM PERAK BERSIH DAN SIHAT (PERAK BEST) PERINGKAT MAJLIS DAERAH TANJONG MALIM

22 Okt 2024, Selasa – Telah diadakan Majlis Penutup Program Perak Bersih dan Sihat (Perak Best) peringkat Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) pada jam 9.00 pagi. Encik Roslan bin Kamaruzaman, Setiausaha MDTM telah menyempurnakan majlis penutup ini. Turut hadir bersama adalah barisan Ahli Majlis MDTM, Encik Zulkifli bin Mohammad (Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Puan Foo Tze Yin (Pegawai Teknologi Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim), Encik Nik Muhd Thaqif bin Nik Ibrahim (Penolong Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Muallim), Ketua-Ketua Jabatan Agensi Awam setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan tetamu jemputan yang terdiri daripada pengusaha premis makanan/restoran, pengusaha hotel, pengusaha stesen minyak, pasaraya, serta wakil guru daripada sekolah rendah dan menengah.

Encik Roslan bin Kamaruzaman, Setiausaha MDTM, telah memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan yang menekankan komitmen MDTM dalam mendukung inisiatif kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat, dan selesa demi kesejahteraan masyarakat setempat. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta, serta komuniti dalam menjayakan program ini selaras memperkasakan agenda Perak Best.

Program diteruskan dengan taklimat Penguatkuasaan Pemasangan Perangkap Minyak Masak dan Penarafan Tandas BMW untuk permohonan baharu serta pembaharuan lesen perniagaan disampaikan oleh Encik Mohamad Radzi bin Nor Azman (Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDTM). Seterusnya, taklimat mengenai Pelaksanaan Garis Panduan Dasar Penetapan Tahap Kebersihan Tandas BMW sebagai Syarat Lesen Perniagaan disampaikan oleh Encik Zulkifli bin Mohammad (Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), dan taklimat mengenai Kaedah Menguruskan Penggunaan Perangkap Minyak atau Sisa Makanan oleh Encik Izeir Shafareen Ismail dari Kualiti Alam Hijau (M) Sdn Bhd. Akhir sekali, taklimat mengenai Kitar Semula disampaikan oleh Puan Habibah binti Yaakob, Duta Icycle.

Program turut dimeriahkan dengan majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada semua pemenang yang telah menyertai Program Perak Best yang dianjurkan oleh pihak MDTM bermula dari 1 Julai hingga 30 September 2024, antaranya :

• Pertandingan Premis Makanan Bersih (Restoran & Penjaja)
• Pertandingan Tandas BMW
• Pertandingan Juara Otai Minyak Masak Siri ke-3
• Pertandingan Keceriaan Lanskap Komuniti

Pihak MDTM mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta dan pemenang yang telah menyertai program ini. Semoga program yang dianjurkan ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis dan warga Muallim untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, keindahan premis, serta persekitaran secara keseluruhan.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 19/12/24 • Jumlah Pelawat : 21286960