Muallim, 5 Mac 2025 – Bazar Ramadan Daerah Muallim terus menjadi tumpuan saban tahun dengan pelaksanaan Program “Jom Tapau” yang berlangsung bermula pada 6 Mac 2025 bersamaan 5 Ramadan 1446 Hijrah di tiga bazar terpilih iaitu Bazar Ramadan Bandar Behrang 2020, Bazar Ramadan Slim River dan Bazar Ramadan Tanjong Malim. Program ini bertujuan untuk menggalakkan pembeli membeli di bazar yang terpilih dengan membawa bekas makanan atau bekas minuman sendiri dari rumah masing-masing bagi mengurangkan penggunaan bekas makanan sekali guna seperti polisterin.
Program ini juga bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri Perak dengan slogan ‘2030 Perak Sejahtera’ dengan usaha mengurangkan sisa plastik dan menanamkan kesedaran kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan peniaga serta pengunjung bazar. Selain itu, Kempen Kitar Semula dan pengasingan sisa turut dijalankan bagi memastikan pengurusan sampah lebih sistematik sepanjang Ramadan.
Pengunjung yang ada membawa bekas makanan dari rumah dan membeli di bazar, boleh menuntut cenderahati kepada petugas Majlis Daerah Tanjong Malim yang berada di situ bermula jam 4.30 hingga 5.30 petang pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis.
Turut diadakan juga, Penjurian Pertandingan Bazar Ramadan Lestari 2025 pada bulan Ramadan ini yang bermula pada 5 Mac 2025 bagi memilih gerai-gerai yang mengutamakan amalan hijau, seperti penggunaan pembungkusan biodegradasi serta penyediaan makanan secara mesra alam. Beberapa peniaga pernah menerima pengiktirafan tahun lalu sebagai “Gerai Hijau” kerana mengamalkan konsep perniagaan yang menyokong kelestarian alam sekitar.
Program ini dijangka berterusan sepanjang Ramadan dan diharapkan dapat memberi impak positif kepada komuniti setempat, selain menjadi contoh kepada bazar-bazar Ramadan di daerah lain.