MENU

Bandar Tanjong Malim

    Selain dikenali sebagai Bandar Pendidikan, Tanjong Malim juga berpotensi untuk menjadi sebuah bandar yang pesat membangun di kawasan selatan Perak. Berasaskan kepada kegiatan ekonomi yang sedia ada dan perancangan industri yang akan dirancangkan seperti industri automobil, perladangan dan perkilangan, Tanjong Malim dijangka bakal menjadi sebuah bandar yang pesat membangun di selatan Perak.Pendapat ini yang mula diperkatakan sejak dahulu lagi telah diperkukuhkan dengan pembinaan kilang kereta nasional, Proton di Bandar Proton dan pembangunan kawasan-kawasan perumahan baru, kawasan rekreasi dan lain-lain .

    Bandar Tanjong Malim ini bermula daripada sebuah tanjung (kawasan air / tanah yang wujud daripada hakisan sungai) yang sangat luas. Kawasan ini diterokai oleh seorang ulama' yang bernama Tuan Haji Mustafa bin Raja Kemala. Sempena dengan kedudukan tanjung yang sangat luas ini, Tuan List (wakil kerajaan Negeri Selat) dan Raja Itam telah menamakan bandar ini dengan nama Tanjong, manakala perkataan Malim (mu'alim) adalah berkaitan dengan penduduk di kawasan Tanjong itu yang sangat rajin beribadat pada ketika itu.

    Selain pekan Tanjong Malim terdapat beberapa pekan dan pekan-pekan kecil yang berhampiran dengan Bandar Tanjong Malim dan termasuk di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Tanjong Malim. Semua pekan dan pekan kecil ini terletak dalam lingkungan 30 km dari Tanjong Malim. Di antara pekan ini, Slim River pula sebagai pusat bandar pentadbiran di daerah ini oleh kerana Pejabat Daerah dan Tanah terletak di pekan ini. Di samping itu hospital juga ditempatkan di bandar ini. Hospital ini dilengkapi dengan rawatan doktor pakar.

    Pada peringkat awalnya, Pejabat Daerah dan Tanah ini berpusat di Tanjong Malim. Tetapi sejak peristiwa pembunuhan Tuan Codner (Pegawai Daerah) oleh komunis di Simpang Empat, Tanjong Malim, pejabat ini telah dipindahkan ke Slim River. Asal nama Slim River bermula daripada sungainya (Sungai Slim) yang sempit. Berdasarkan keadaan sungai yang sempit ini orang Inggeris telah menamakan bandar ini Slim River yang bermaksud sungai sempit di dalam Bahasa Malaysia.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 23 Jun 2017 - 12:14pm